Saturday, September 11, 2010

pengembaran yang hakiki..

Alhamdulillah, bersyukurlah kita kepada Allah SWT kerana dengan izinNya kita dapat berada di alam dunia yang fana ini.

Kita telah dihidupkan dan kita juga akan dimatikan dengan izinNya.

Kita sebagai manusia telah dipinjamkan olehNya jasad dan nyawa untuk beberapa ketika yang telah diperuntukkan oleh Allah Azza wa Jalla, Tuhan Sekalian Alam.

Kita sendiri tidak mengetahui akan hal itu dan Allah SWT adalah sebaik-baik pengatur.

Kehidupan kita ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW adalah seperti sebuah pengembara yang sedang berjalan jauh sambil bertongkat dalam menuju perjalanan ke suatu destinasi abadi yang jauh dan memerlukan banyak bekalan.

Untuk mendapatkan bekalan itu pula memerlukan kesabaran dan ketabahan yang sangat tinggi.

Dalam perjalanan ini kita mengisi kehidupan dengan dua keadaan iaitu perasaan atau suasana, juga saat-saat gembira dan saat-saat kesedihan.

Kedua-dua perasaan ini pernah dialami oleh para Nabi dan Rasul Allah, apatah lagi kita sebagai hamba yang kerdil lagi hina ini.

Saya ambil contoh yang terdekat yang menjadi idola semua umat Islam, iaitu insan yang sangat saya pandang tinggi dan saya sanjungi, Rasulullah SAW.

Hidup Baginda penuh dengan saat yang menggembirakan, tidak kurang juga saat-saat menyakitkan yang sesekali mengundang air mata Rasulullah SAW yang menandakan Baginda juga adalah seorang manusia biasa.

Kegembiraan Baginda adalah apabila kita sebagai umat Islam menjalani hidup sesuai dengan jalan yang ditinggalkannya dan kesedihan Baginda pula adalah apabila menyaksikan umatnya tersasar jauh daripada jalan yang Baginda tinggalkan dan umatnya mengikuti jejak langkah syaitan laknatullah.

Hidup ini Keseronokan dan Kebahagiaan Sementara...

Tentunya dalam perjalanan seorang hamba yang ingin menuju ke sebuah destinasi cinta, banyak halangan dan gangguan yang boleh menjejaskan matlamatnya dan sesekali terasa ingin berputus asa untuk ke destinasi yang pasti itu.

Bagi seorang pengembara yang bijak dan pandai, semestinya dirinya tidak akan terpengaruh dengan keseronokan dan kenikmatan di dunia yang sementara kerana dirinya tahu bahawa dia adalah penghuni alam yang kekal abadi; syurga Allah.

Bagi seorang pengembara yang senang dan seronok menikmati keseronokan di dunia tanpa memikirkan dunianya yang kekal abadi, dirinya akan mementingkan hawa nafsu semata seolah-olah inilah dunia yang kekal selamanya sehingga dirinya terlupa matlamat atau cita-cita sebenar untuk menuju ke arah akhirat yang abadi.

Mereka terpedaya dengan dunia yang sementara ini.

Dengan tidak mengendahkan suara iman mereka, mereka terus-menerus meletakkan halawatul dunia dihati mereka dan menyangka bahawa itulah matlamat sebenar mereka, na'uzubillah...

Saya teringat kata-kata salah seorang ustaz saya; Ustaz Mizi.

Beliau berkata, kita juga boleh diibaratkan sebagai seorang pemandu atau penumpang atau pengembara yang berada di atas sebuah nakhoda yang besar, yang sedang menuju destinasi selama berhari-hari, malah bertahun-tahun lamanya.

Sebagai seorang pengembara, kita seharusnya bijak melayarkan bahtera ke arah yang tepat mengikut kompas yang telah diberikan dan ditinggalkan oleh Rasulullah SAW kepada kita iaitu Al-Quran dan As-Sunnah.

Dan untuk sampai ke destinasi cinta atau destinasi yang abadi itu, pungut dan kumpullah bekalan ketika berada di dunia sebanyak yang mungkin.

Letakkanlah segala keseronokan dan kenikmatan serta kekayaan di dunia ini di tangan kita dan anggaplah semua itu hanya bebanan yang boleh menjejaskan perjalanan menuju ke destinasi cinta abadi.

Oleh itu, sebagai seorang pengembara, kita seharusnya pandai memilih dan dapat mengenal pasti yang mana satu bekalan dan mana satu bebanan.

Bekalan ialah sesuatu amalan yang memudahkan perjalanan sepanjang kita menuju negeri akhirat, manakala bebanan adalah sesuatu yang merumitkan dan melambatkan perjalanan kita ke negeri akhirat.

Ingatlah, dunia ini sebagai tempat bercucuk tanam.

Hasilnya kita akan kecapi di negeri akhirat kelak.

Beramallah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya.

Dan beramallah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati pada esok hari. (Sumber Al-Hadis)

Kesimpulannya, persiapkan dan mantapkan diri kita.

Sebagai seorang pengembara yang kita sendiri masih belum tahu bila akan sampainya ke destinasi yang dituju, perlunya kita mencari bekalan sebanyak mungkin.

Dan berhati-hati dengan setiap ujian kesedihan dan kenikmatan yang Allah SWT berikan kepada kita.

Wajibnya kita menjaga hubungan dengan Allah SWT kerana kita semua yang ada di muka bumi ini adalah hanya pinjaman untuk menguji kekentalan iman kita sebagai hambaNya.

Begitu juga dengan hubungan kita sesama manusia, saling berpegangan tanganlah kita semua agar tiada yang terjatuh dari kapal dunia ini tanpa ada seorang pun yang berusaha untuk menyelamatkannya.

Sebaik-baik bekalan adalah iman dan takwa...

Masih ingatkah kita pada kisah Rasulullah SAW semasa peristiwa Isra' dan Mikraj? Dalam perjalanan Baginda, Allah SWT telah menunjukkan satu golongan yang menanam gandum dan kemudian menuainya.

Baru sahaja beberapa saat ditanam, terus berbuah dan dituai dan begitulah seterusnya.

Inilah ibaratnya keadaan orang yang sentiasa membuat kebajikan dan tidak putus-putus menerima ganjaran pahala yang banyak di sisi Allah SWT.

Ganjaran ini kelak akan dinikmatinya di akhirat sana, insyaAllah.

Semoga kita semua menjadi seorang pengembara yang bijak dan sentiasa meletakkan kenikmatan di dunia ini di telapak tangan dan bukannya dihati.

Yang sentiasa mendoakan pengembara yang lain dan mengingati setiap pengembara didalam doanya.

Semoga kita menjadi pengembara yang sentiasa menjadikan redha Allah SWT adalah tujuan utama.

Semoga Allah merahmati, insyaAllah...

Friday, April 30, 2010

renungkan bersama dimanakah kita???

Moga Dapat direnungkan bersama kata-kata di bawah.. Kata-kata Hikmah, penawar bagi hati...

1) Jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan baik walaupun hanya sekadar senyuman.

2) Dunia ini umpama lautan yg luas. Kita adalah kapal yg belayar di lautan telah ramai kapal karam didalamnya.. andai muatan kita adalah iman, dan layarnya takwa, nescaya kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini.

3) Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.

4) Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana kejujuran itu telalu penting dalam sebuah kehidupan. Tanpa kejujuran hidup sentiasa menjadi mainan orang.

5) Hati yg terluka umpama besi bengkok walau diketuk sukar kembali kepada bentuk asalnya.

6) Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.

7) Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh dengan ketenangan dan keamanan. Hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun. Bila-bila masa ia akan pecah.

muhasabah diri kita.

Hari ini sebelum kita mengatakan kata-kata yang tidak baik,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak dapat berkata-kata sama sekali.


Sebelum kita mengeluh tentang rasa dari makanan,
Fikirkan tentang seseorang yang tidak punya apapun untuk dimakan.


Sebelum anda mengeluh tidak punya apa-apa,
Fikirkan tentang seseorang yang meminta-minta dijalanan.


Sebelum kita mengeluh bahawa kita buruk,
Fikirkan tentang seseorang yang berada pada keadaan yang terburuk di dalam hidupnya.


Sebelum mengeluh tentang suami atau isteri anda,
Fikirkan tentang seseorang yang memohon kepada Tuhan untuk diberikan teman hidup.


Hari ini sebelum kita mengeluh tentang hidup,
Fikirkan tentang seseorang yang meninggal terlalu cepat.


Sebelum kita mengeluh tentang anak-anak kita,
Fikirkan tentang seseorang yang sangat ingin mempunyai anak tetapi dirinya mandul.


Sebelum kita mengeluh tentang rumah yang kotor kerana pembantu tidak mengerjakan tugasnya,
Fikirkan tentang orang-orang yang tinggal dijalanan.


Dan di saat kita letih dan mengeluh tentang pekerjaan,
Fikirkan tentang pengangguran, orang-orang cacat yang berharap mereka mempunyai pekerjaan seperti kita.


Sebelum kita menunjukkan jari dan menyalahkan orang lain,
Ingatlah bahawa tidak ada seorangpun yang tidak berdosa.


Dan ketika kita sedang bersedih dan hidup dalam kesusahan,
Tersenyum dan berterima kasihlah kepada Tuhan bahawa kita masih hidup !

Thursday, January 29, 2009

AKU TIDAK SEORANG
Ya Tuhan
Yang Awal
Yang Akhir
YAng Zahir
Yang Bathin

hati mendidih
terluka pedih
terpaksa merintih
berdoa dalam bertatih
aku masih

perjuangan telus
samar terus
iman takut pupus
dosa bagai pasir jerlus

hatiku sedang sakit
berzikir sambil berakit
berpeluh menahan pahit
mata berkedut perit

sudah lama luka ini sembuh
tiba-tiba kembali melepuh
sakit sampai terduduk bersimpuh
namun pengalaman ini wajib ditempuh

Allah sentiasa menemani
namun fasa ini ku abadi
qadha dan qadar insani
Nabi dan Rasul sudah imani

apapun tabah sayang
mencintai diri jangan melayang
walau diri jauh dibuang
namun aku tidak seorang!

Bingkisan sepi dari teman...

MATA INI, MULUT INI
Oh Tuhan!

tidaklah merayau ruhku ke alam fana
jika aku dapat menyelami alam barzakh
tidaklah aku menghampiri batasan maksiat
jika aku dapat melihat dengan mata kepalaku sendiri
hatiku bernanah berulat!

oh Tuhan!

mengapa terasa tandus sebuah jiwa
sedangkan rahmatMu bertebaran di serata dunia
mungkinkah benar-benar hatiku diselimuti dosa
sehingga pandangan hatiku jadi buta?

Oh Tuhan!

mulut ini ,mulut ini ,kurniaanMu
masih Kau isikan lidahku kenyang dengan nasi
walaupun sering aku salah guna mencebik keluh
bibir merah ini, merah jambu indah
merekah kering dari ucapan syukur kepadaMu
malah lisanku berbisa sering terlepas kendali

Oh Tuhan!

mata ini, mata ini, kurniaanMu
melihat tidak pada Ni'matMu dengan puji
tidak endah pada zina mata langsung menzalimi hati
namun masih Kau beri aku melihat lontaran kasih
dari wajah-wajah ceria kesayanganku
merakam bahagia yang tersimpul senyum dalam benakku

inilah mata dan hati anugerah dari tuhan
terlalu payah untuk dijaga dan dipelihara
jagala mata dan hatimu...